Pemilihan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anak-anak perkahwinan campur etnik India-etnik tempatan Sabah

Mohd Juhar bin Harun (2019) Pemilihan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anak-anak perkahwinan campur etnik India-etnik tempatan Sabah. Masters thesis, Universiti Malaysia Sabah.

[img] Text
24 PAGES.pdf

Download (1MB)
[img] Text
FULLTEXT.pdf
Restricted to Registered users only

Download (20MB)

Abstract

Kajian ini memfokuskan kepada amalan perkahwinan campur antara kumpulan etnik India dengan etnik tempatan di negeri Sabah. Pemilihan dan penggunaan bahasa yang dominan dalam kalangan anak-anak perkahwinan campur antara etnik India dengan etnik tempatan Sabah merupakan skop yang utama dalam kajian ini. Hal ini merujuk kepada permasalahan utama anak-anak perkahwinan campur ini sama ada cenderung memilih dan menggunakan bahasa ibunda ibu atau bapa atau bahasa lain selain bahasa ibunda ibu atau bapa mereka dalam kehidupan seharian. Masyarakat di negeri Sabah mempunyai kelebihan bertutur lebih daripada satu jenis bahasa turut menjadi perkara yang penting untuk diteliti dalam kajian ini. Dalam konteks ini, dialek Melayu Sabah menjadi bahasa komunikasi yang dominan dipilih dan digunakan dalam kehidupan seharian di negeri ini. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap identiti anak-anak bagi kedua-dua etnik ini lebih tertumpu kepada pemilihan dan penggunaan bahasa yang paling dominan dalam kehidupan seharian mereka. Berlandaskan disiplin ilmu linguistik dengan menggunakan pendekatan kualitatif, kajian ini memfokuskan kepada aspek pemilihan dan penggunaan bahasa dalam pertuturan seharian anak-anak perkahwinan campur antara etnik India dengan etnik tempatan Sabah di sekitar Bandar raya Kata Kinabalu, Penampang, Papar dan Tuaran. Dalam kajian ini, kaedah temu bual separa struktur dengan menggunakan teknik pensampelan bola salji (snow ball) dijadikan asas bagi mengumpul data kajian. Justeru, kajian ini cuba mengupas isu perkahwinan campur dalam kalangan anak-anak dengan memfokuskan empat aspek yang utama. Aspek pertama ialah mengenal pasti pemilihan dan penggunaan bahasa yang paling dominan dalam pertuturan harian oleh anak-anak perkahwinan campur antara etnik India dengan etnik tempatan Sabah. Aspek yang kedua pula ialah meneliti kekerapan pemilihan dari penggunaan bahasa ibunda etnik India dalam kalangan anak-anak perkahwinan campur ini. Manakala aspek ketiga pula meneliti tahap identiti 'keindiaan' anak-anak perkahwinan campur antara etnik India dengan etnik tempatan Sabah. Kajian ini turut menilai hubung kait antara pemilihan dan penggunaan bahasa etnik India dengan identiti 'keindiaan' mereka. Oleh yang demikian, berdasarkan analisis hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa bahasa Melayu dialek Sabah merupakan bahasa yang paling dominan digunakan dalam keseluruhan domain yang terdapat dalam kajian ini. Selain daripada itu, kajian ini turut mendapati bahawa kekerapan pemilihan dan penggunaan bahasa ibunda etnik India, majoriti daripada keseluruhan responden 'tidak pernah' memilih dan menggunakan bahasa ibunda etnik India mereka. Dalam aspek tahap identiti 'keindiaan' pula, secara keseluruhannya majoriti responden meletakkan identiti 'keindiaan' diri mereka sebagai 'tidak India'. Hubung kait kekerapan pemilihan dan penggunaan bahasa etnik India dengan tahap identiti 'keindiaan' responden juga terbukti mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Buktinya, hasil dapatan kajian menunjukkan semakin kerap pemilihan dan penggunaan bahasa etnik India dalam kalangan para responden, tahap identiti 'keindiaan' dalam diri mereka akan 'lebih India' dan begitu juga sebaliknya. Kajian yang mendalam tentang pemilihan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anak-anak perkahwinan campur antara etnik India dengan etnik tempatan Sabah ini adalah sangat penting untuk memahami kesan amalan perkahwinan campur di negeri Sabah lebih kepada identiti melalui pemilihan dan penggunaan bahasa yang dominan digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

Item Type: Thesis (Masters)
Keyword: Perkahwinan campur, Etnik India, Etnik tempatan Sabah, Pemilihan dan penggunaan bahasa, Identiti
Subjects: P Language and Literature > P Philology. Linguistics > P1-1091 Philology. Linguistics > P87-96 Communication. Mass media
Department: CENTRE > Centre for the Promotion of Knowledge and Language Learning
Depositing User: DG MASNIAH AHMAD -
Date Deposited: 02 Oct 2023 15:02
Last Modified: 02 Oct 2023 15:02
URI: https://eprints.ums.edu.my/id/eprint/37423

Actions (login required)

View Item View Item