Model pentaksiran risiko banjir pasca gempa bumi di Kota Belud, Sabah

Kamilia Sharir (2022) Model pentaksiran risiko banjir pasca gempa bumi di Kota Belud, Sabah. Doctoral thesis, Universiti Malaysia Sabah.

[img] Text
24 PAGES.pdf

Download (360kB)
[img] Text
FULLTEXT.pdf
Restricted to Registered users only

Download (31MB)

Abstract

Matlamat utama kajian ini adalah untuk membangunkan sebuah model Pengurusan Bahaya dan Risiko Banjir (FRM) yang praktikal dan komprehensif di kawasan Kota Belud, Sabah. Terdapat lima komponen penting dalam FRM iaitu pentaksiran bahaya, pendedahan elemen berisiko dan kemudahterancaman, analisis risiko, penilaian risiko dan mitigasi risiko. Pentaksiran Bahaya Banjir (FHAs) dihasilkan melalui gabungan dua pendekatan berbeza iaitu dengan analisis limpahan banjir dan indeks kerentanan banjir. Pendekatan secara hidrodinamik (model HEC-RAS) digunakan untuk menghasilkan Peta Limpahan Banjir berdasarkan tempoh ulangan banjir yang berbeza. Indeks Kerentanan Banjir pula dijana secara statistik-bivariat (model Nisbah Kekerapan) dan heuristik (model AHP) berdasarkan enam parameter terpilih iaitu ketumpatan saliran, penampanan saliran, guna tanah, ketinggian topografi, indeks kelembapan topografi dan litologi. Hasil analisis yang mempunyai nilai validasi tertinggi di antara kedua model ini akan digabungkan dengan peta limpahan banjir bagi menjana peta FHAs. Pengenalpastian Elemen Berisiko Banjir (FREI) dikenal pasti secara nyata (melalui jejak bangunan dan jenis jaringan jalan raya) atau tidak nyata (dilakukan secara soal selidik di lapangan). Peta Ketumpatan Fizikal dihasilkan dari data jejak bangunan dan jaringan jalan raya untuk menggambarkan elemen berisiko pada skala rantau. Selanjutnya adalah Pentaksiran Kemudahterancaman Banjir (FVAs) yang dihasilkan melalui integrasi antara parameter kemudahterancaman (V) (fizikal, sosial dan persekitaran) dan FREI. Gabungan ketiga-tiga komponen (FHAs, FREI dan FVAs) ini akan menghasilkan Peta Analisis Risiko Banjir (FRAn) di kawasan kajian. Akhir sekali, Penilaian Risiko Banjir (FREv) dan cadangan mitigasi yang sesuai sama ada melalui pendekatan struktur atau bukan struktur dapat disyorkan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa hasil peta FHAs mempunyai nilai validasi dalam kategori baik iaitu 88.4%. Bagi hasil FREI pula, ketumpatan elemen berisiko tinggi terletak berhampiran dengan sungai utama iaitu Sg. Kadamaian, Sg. Wariu, Sg. Tempasuk, Sg. Abai dan Sg. Gurong-Gurong. Hasil peta FVAs menunjukkan sebahagian besar dari kawasan kajian dalam kategori kemudahterancaman sangat sederhana iaitu 55.07% (~108.49km2) dan tiada kawasan mempunyai nilai kemudahterancaman dalam kategori sangat tinggi. Hasil FRAn menunjukkan bahawa kawasan-kawasan dalam darjah bahaya dan kemudahterancaman banjir yang tinggi turut mempunyai darjah risiko banjir yang tinggi seperti di Padang Pekan, Kg Lilud, Kg Sangkir, Kg Jawi-jawi, Kg Kota Bunga, Kg Limatok dan Kg Tamau dan begitu juga sebaliknya. FREv mendedahkan tahap kesiapsiagaan dan kedayatahanan penduduk perlu ditingkatkan.

Item Type: Thesis (Doctoral)
Keyword: Pentaksiran bahaya, Risiko, Banjir, Pasca-gempa bumi
Subjects: T Technology > TC Hydraulic engineering. Ocean engineering > TC1-978 Hydraulic engineering > TC530-537 River protective works. Regulation. Flood control
Department: FACULTY > Faculty of Science and Natural Resources
Depositing User: DG MASNIAH AHMAD -
Date Deposited: 16 Oct 2024 13:49
Last Modified: 16 Oct 2024 13:49
URI: https://eprints.ums.edu.my/id/eprint/41217

Actions (login required)

View Item View Item