Kesan rawatan penyepuhlindapan terhadap sifat fiziko-kimia kanji sagu teriradiasi-gamma

Fong, Soon Loong (2013) Kesan rawatan penyepuhlindapan terhadap sifat fiziko-kimia kanji sagu teriradiasi-gamma. Universiti Malaysia Sabah. (Unpublished)

[img]
Preview
Text
ae0000002361.pdf

Download (12MB) | Preview

Abstract

Satu penyelidikan tentang kesan rawatan penyepuhlindapan [ANN (To-5) dan ANN(To-10)] terhadap sifat fiziko-kimia kanji sagu teriradiasi-gamma pada dos berlainan (5kGy, 10kGy, 25kGy dan 50kGy) telah berjaya dikaji. Penentuan nilai pH, kandungan karboksil, kuasa pembengkakan, keterlarutan, kandungan amilosa terlarut-Iesap, kandungan amilosa, sifat pempesan, sifat terma, kekuatan gel, keteraturan struktur kanji dan morfologi granul kanji telah dijalankan bagi mencapai objektif kajian ini. Proses penyempurnaan terhadap molekul berhablur dan peningkatan interaksi amilosa-amilosa dan amilosa-amilopektin oleh rawatan penyepuhlindapan telah mengakibatkan kuasa pembengkakan dan keterlarutan kanji berkurang, terutama pada rawatan ANN(To-5) (p<0.05). Pembentukan molekul berhablur yang baru dan peningkatan tahap penghabluran kanji oleh rawatan penyepuhlindapan meningkatkan suhu pempesan, suhu penggelatinan, kekuatan gel dan keteraturan struktur kanji iaitu nisbah 1047cm-1/1022cm-1 (p<0.05). Kesan ini lebih menonjol pada ANN(To-5) kerana mobiliti molekul kanji yang tinggi mencekapkan proses penyusunan semula molekul kanji (p<0.05). Sebaliknya, kesan penyahpolimeran dan degradasi berlaku pada rantaian panjang kanji terutama amilopektin oleh iradiasi gamma menurunkan isipadu hidrodinamik granul kanji dan melemahkan struktur kanji. Ini merendahkan kuasa pembengkakan, kelikatan pes, kekuatan gel, suhu pempesan dan suhu penggelatinan kanji seiring dengan peningkatan dos iradiasi (p<0.05). Namun begitu, kesan penyahpolimeran oleh iradiasi gamma dapat mendorong pembentukan ikatan hidrogen antara molekul kanji dengan air lalu membawa kepada peningkatan pada keterlarutan dan kandungan amilosa terlarut-lesap (p<0.05). Semua gabungan pengubahsuaian iradiasi gamma dengan rawatan penyepuhlindapan dapat menghasilkan granul kanji yang lebih stabil terhadap terma dengan suhu pempesan dan suhu penggelatinan yang nyata lebih tinggi terutama dengan rawatan ANN(To-5) (p<0.05). Bagaimanapun, gabungan dengan iradiasi dos tinggi (25kGy dan 50kGy) merencatkan nilai breakdown dan kekuatan gel kanji (p<0.05). Dos iradiasi gamma yang rendah (5kGy dan 10kGy) dapat meningkatkan proses penyusunan semula molekul yang dijalankan oleh rawatan penyepuhlindapan. Sebaliknya, pada dos iradiasi gamma yang tinggi (25kGy dan 50kGy), tahap penyahpolimeran yang tinggi tidak menggalakkan proses penyusunan semula molekul dalam kanji. Kajian ini mendapati gabungan pengubahsuaian antara dos iradiasi yang rendah (5kGy dan 10kGy) dengan rawatan penyepuhlindan pada ANN(To-5) berpotensi menghasilkan granul kanji yang lebih kukuh dan stabil terhadap terma berbanding rawatan tunggal penyepuhlindapan.

Item Type: Academic Exercise
Keyword: annealing, gamma, sago starch, irradiation dosage, heat-stable starch
Subjects: T Technology > TX Home economics > TX1-1110 Home economics > TX341-641 Nutrition. Foods and food supply
Department: SCHOOL > School of Food Science and Nutrition
Depositing User: SITI AZIZAH BINTI IDRIS -
Date Deposited: 28 Oct 2014 14:43
Last Modified: 13 Oct 2017 15:12
URI: https://eprints.ums.edu.my/id/eprint/9815

Actions (login required)

View Item View Item