Pengaruh kemahiran proses sains, keupayaan pemikiran logik, sikap terhadap sains, dan lokus kawalan terhadap pencapaian sains dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 bahagian Pedalaman Negeri Sabah

Lay, Yoon Fah (2006) Pengaruh kemahiran proses sains, keupayaan pemikiran logik, sikap terhadap sains, dan lokus kawalan terhadap pencapaian sains dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 bahagian Pedalaman Negeri Sabah. ["eprint_fieldopt_thesis_type_phd" not defined] thesis, Universiti Malaysia Sabah.

[img]
Preview
Text
ph000000033.pdf

Download (20MB) | Preview

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk meninjau kesan langsung dan tidak langsung bagi kemahiran proses sains, keupayaan pemikiran logik, sikap terhadap sains, dan lokus kawalan terhadap pencapaian sains dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Bahagian Pedalaman Negeri Sabah. Seramai lebih kurang 600 orang pelajar Tingkatan 4 dari keempat-empat daerah di Bahagian Pedalaman Negeri Sabah telah dipilih dengan kaedah pensampelan rawak kelompok dua-tahap. Kajian ini adalah kajian kuantitatif bukan eksperimen yang menggunakan kaedah tinjauan sampel untuk mengumpul data. Instrumen-instrumen yang telah digunakan untuk memungut data kuantitatif terdiri daripada Ujian Kemahiran Proses Sains Asas (UKPSA), Ujian Kemahiran Proses Sains Bersepadu (UKPSB), Pentaksiran Berkumpulan Pemikiran Logik (PBPL), Pentaksiran Sikap Terhadap Sains Di Sekolah (PSTSS), Soal Selidik Tanggungjawab Pencapaian Intelektual (TPI), Ujian Pencapaian Sains PMR (UPS-PMR), dan Ujian Pencapaian Sains (UPS). Analisis univariat (ujian - t dan ANOVA satu-hala) dan analisis multivariat (analisis faktor, analisis korelasi hasil darab momen Pearson, analisis regresi berganda, dan analisis lintasan) telah digunakan untuk menguji hipotesis-hipotesis nol pada aras keertian, p = .05. Andaian-andaian seperti kenormalan, homoskedastisiti, kelinearan, dan ketaksandaran telah dipenuhi sebelum analisis regresi berganda dilaksanakan. Pakej analisis statistik seperti 'Statistical Packages for Social Sciences' (SPSS) for Windows version 9.0', perisian anal isis item 'QUEST (Adams & Khoo, 1993), dan perisian 'Analysis of Moment Structures (AMOS) 4.0 SPSS for Windows version 10.0' (Arbuckle, 1998) telah digunakan untuk menganalisis data kuantitatif yang dikumpul. Keputusan kajian mendapati wujudnya korelasi positif yang rendah ke sederhana tetapi signifikan antara pencapaian kemahiran proses sains, keupayaan pemikiran logik, sikap terhadap sains, lokus kawalan, dan pencapaian sains bagi keseluruhan responden kajian kecuali hubungan antara keupayaan pemikiran logik dengan sikap terhadap sains dan lokus kawalan. Analisis regresi berganda langkah demi-langkah mendapati bahawa keupayaan pemikiran logik dan sikap terhadap sains menyumbang secara signifikan sebanyak 26.4% daripada varians dalam pencapaian kemahiran proses sains bagi keseluruhan responden kajian. Di samping itu, kemahiran proses sains dan keupayaan pemikiran logik turut menyumbang secara signifikan sebanyak 34.7% daripada varians dalam pencapaian sains dalam kalangan responden kajian. Keputusan analisis lintasan menunjukkan bahawa keupayaan pemikiran logik dan sikap terhadap sains memberi kesan langsung kepada kemahiran proses sains, kemahiran proses sains dan keupayaan pemikiran logik memberi kesan langsung kepada pencapaian sains manakala keupayaan pemikiran logik dan sikap terhadap sains turut memberi kesan tidak langsung melalui kemahiran proses sains kepada pencapaian sains bagi keseluruhan responden kajian. Model struktur yang dijanakan dalam kajian ini mempunyai kebagusan penyuaian model yang baik dan memenuhi kriteria-kriteria pengukuran penyuaian model yang dicadangkan dalam ukuran penyuaian mutlak, ukuran penyuaian penambahan, dan ukuran penyuaian parsimoni. Dapatandapatan kajian ini membawa implikasi kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyelidikan dan pembangunan pendidikan sains. Pihak-pihak yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan kurikulum sains perlu merancang program-program intervensi yang berkesan untuk meningkatkan keupayaan pemikiran logik dan memupuk sikap yang positif terhadap sains dalam usaha meningkatkan pencapaian kemahiran proses sains dan pencapaian sains dalam kalangan pelajar. Namun, perbezaan individu pelajar dari segi faktor jantina, tahap pencapaian sains PMR, dan tahap perkembangan kognitif juga perlu diambil kira dalam usaha merancang program-program intervensi. Tindakan-tindakan susulan tersebut adalah penting untuk memastikan wawasan negara menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi menjadi kenyataan.

Item Type: Thesis (["eprint_fieldopt_thesis_type_phd" not defined])
Keyword: science, Interior Division, random sampling technique, two-stage cluster, achievement level
Subjects: ?? LB1603 ??
Department: SCHOOL > School of Education and Social Development
Depositing User: SITI AZIZAH BINTI IDRIS -
Date Deposited: 13 Jan 2015 11:42
Last Modified: 30 Oct 2017 12:03
URI: https://eprints.ums.edu.my/id/eprint/10210

Actions (login required)

View Item View Item