Kesan pengambilan pasir sungai ke atas taburan sedimen Sungai Tuaran, Sabah

Jayawati Fanilla Sahih Montoi (2018) Kesan pengambilan pasir sungai ke atas taburan sedimen Sungai Tuaran, Sabah. Masters thesis, Universiti Malaysia Sabah.

[img] Text
24 PAGES.pdf

Download (1MB)
[img] Text
FULLTEXT.pdf
Restricted to Registered users only

Download (7MB)

Abstract

Kajian ini dijalankan untuk menilai kesan pengambilan pasir sungai ke atas taburan sedimen di Sungai Tuaran, Daerah Tuaran Sabah. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji perubahan pada parameter sedimen dasar dan morfologi sungai kesan daripada aktiviti pengambilan pasir dalam sungai ini. Panjang sungai dikaji adalah 8 km tertumpu di bahagian hilir sungai berliku. Sampel sedimen dasar sungai dikutip menggunakan alat pencengkau sampel Van Veen yang boleh mengaut sampel sehingga maksimum 0.1 m3. Jenis sampel dikutip adalah sampel sebelum iaitu tiada sebarang aktiviti pengambilan pasir sungai dijalankan di lokasi persampelan ini, sampel semasa iaitu aktiviti pengambilan pasir sedang aktif beroperasi dan sampel selepas iaitu setelah aktiviti pengambilan pasir sungai dihentikan operasinya. Untuk itu, sejumlah 121 sampel telah dikutip sepanjang kawasan kajian. Profil sungai diukur di lapangan dan juga menggunakan imej dari Google Earth 2003-2014 untuk menilai perubahan pada profil keratan dan bentuk alur di kawasan kajian. Geometri alur yang diukur adalah lebar (W), kedalaman (D) dan radius lengkung (Rc) di tiga lokasi liku sungai yang berlainan. Sampel sedimen dijalankan analisis saiz butiran menggunakan kaedah ayakan kering dan hidrometer untuk mendapatkan data kumulatif saiz butiran. Parameter min, isihan, pencongan dan kurtosis dikira menggunakan kaedah grafik Folk & Ward berdasarkan kepada data kumulatif saiz butiran tersebut. Statistik penaksiran digunakan untuk membuktikan jika wujud sebarang perbezaan ke atas parameter sedimen yang diuji di antara sampel sebelum, semasa dan selepas dan juga perbezaan sedimen di antara kawasan yang aktif dengan pengambilan pasir dan kawasan yang tidak aktif. Perubahan pada morfologi sungai pula dianalisa berdasarkan kepada nilai kestabilan lengkung iaitu nisbah radius lengkung kepada lebar sungai, Rc/W dan kestabilan profil alur iaitu nisbah lebar kepada kedalaman sungai, W/D. Graf lengkung Hjulstrom digunakan untuk menentukan proses sungai yang berlaku berdasarkan kepada min saiz butiran dan halaju air mengalir. Hasil keputusan mendapati, terbukti wujud perbezaan yang signifikan pada kandungan kelas sedimen di antara sebelum dan semasa juga di antara semasa dan selepas tetapi tiada perbezaan kelas sedimen yang signifikan di antara sebelum dan selepas. Populasi sedimen semasa tidak menunjukkan perbezaan min bagi saiz butiran di antara liku cembung, liku cekung dan tengah sungai di mana butiran halus tertabur di ketiga-tiga lokasi sungai ini tetapi populasi sedimen sebelum dan selepas mempamerkan saiz butiran yang berlainan di setiap lokasi sungai. Ujian perbandingan min bagi saiz butiran sebelum dan selepas juga menunjukkan taburan sedimen kembali kepada asal pada kadar yang cepat setelah aktiviti pengambilan pasir sungai dihentikan operasinya. Hasil kajian morfologi sungai mendapati bentuk alur berubah dalam tempoh 10 tahun di semua bahagian liku sungai dipengaruhi oleh faktor saiz butiran dan halaju arus mengalir. Perbandingan dari tahun 2003-2014 di ketiga-tiga liku sungai bagaimanapun menunjukkan anjakan tebing dan hakisan adalah sangat signifikan di bahagian yang aktif dengan pengambilan pasir berbanding kawasan yang tidak aktif. Kesimpulannya, kajian ini telah membuktikan bahawa aktiviti pengambilan pasir sungai bukan sahaja memberi kesan yang signifikan ke atas taburan populasi sedimen tetapi juga mengubah bentuk alur pada kadar yang lebih cepat berbanding kesan hasil daripada proses sungai secara semulajadi.

Item Type: Thesis (Masters)
Keyword: River sand extraction, Sediment distribution, Sungai Tuaran, Sediment sampling, Morphological changes
Subjects: G Geography. Anthropology. Recreation > GB Physical geography > GB3-5030 Physical geography > GB651-2998 Hydrology. Water
Department: FACULTY > Faculty of Science and Natural Resources
Depositing User: DG MASNIAH AHMAD -
Date Deposited: 16 Dec 2024 10:42
Last Modified: 16 Dec 2024 10:42
URI: https://eprints.ums.edu.my/id/eprint/42029

Actions (login required)

View Item View Item